Seorang penumpang sebuah kereta pacuan empat roda maut selepas kereta itu melanggar sebuah lori rosak di tepi jalan di Kilometer 43 Jalan Beluran-Telupid malam tadi.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham berkata mangsa yang maut di tempat kejadian adalah Kasman Kasa, 39, berasal dari Kampung Tanjung Batu Darat Tawau, manakala pemandu kereta itu, Labathir Bin Lakodi, 44, dari Kampung Tinagat Tawau mengalami cedera parah.

Katanya dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, kereta tersebut dari arah Telupid dipercayai dipandu laju dalam suasana malam yang gelap sebelum melanggar lori yang berhenti di bahu jalan.

Pemandu kereta yang cedera parah dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori yang sedang tidur dalam lori ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA