Seorang penuntut kolej di Bukit Kayu Hitam hari ini dihadapkan ke mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan membunuh bayi lelaki di tandas kolej itu bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Nur Izzati Adi, 20 tahun, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Nur Izzati didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang bayi dengan menekup bayi tersebut dalam satu insiden di tandas perempuan aras tiga, Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Kayu Hitam pada jam 5.20 petang, 30 Mac lalu.

Penuntut semester pertama Jurusan Pemprosesan Makanan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Jun depan bagi sebutan semula kes bagi menunggu hasil laporan bedah siasat.