Seorang pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh maut manakala rakannya cedera parah dalam satu kemalangan di Kilometer 21 Jalan Keramat Pulai, dekat sini pada Ahad.

Nahas yang berlaku kira-kira jam 4.11 petang itu membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan empat roda jenis Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata, pembonceng motosikal, Ainnur Salman Nor Sallihin, 20, berasal dari Kampung Jelutong Kota Jalan Salor, Kota Bharu meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang, Muhammad Hasbullah M Noor Arzmi, 20, cedera parah.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dari arah Cameron Highlands hendak ke Ipoh melalui Jalan Keramat Pulai.

"Setiba di lokasi kejadian, rakan mangsa melalui selekoh yang menuruni cerun, dipercayai telah hilang kawalan, terjatuh serta terseret, dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Perodua Alza," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Menurutnya, pemandu Perodua Alza berusia 44 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dihantar untuk urusan bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 9 malam," ujarnya.