Gara-gara tertinggal kunci dan cuba panjat ke bahagian dapur untuk masuk ke rumah, seorang penuntut warga Sweden maut terjatuh dari tingkat 22 kondominium didiaminya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.17 pagi, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tingkat dua sebuah kondominium di USJ 1 sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari berkata rakaman CCTV menunjukkan mangsa kelihatan berdiri di koridor rumahnya di tingkat 22 kira-kira jam 3.10 pagi.

Menurutnya, mangsa yang merupakan penuntut kolej swasta dipercayai tidak membawa kunci rumah menyebabkan dia bertindak memanjat melalui bahagian dapur.

"Bagaimanapun, mangsa tergelincir ketika memijak kompresor pendingin hawa sebelum terjatuh dan tersangkut di bumbung tingkat dua kondominium berkenaan.

"Pemeriksaan dibuat dapati mangsa sudah meninggal dunia. Sepasukan anggota dari Balai Bomba Subang Jaya terpaksa dihubungi bagi membantu menurunkan mayat mangsa,"katanya.

Kematian mangsa yang berusia 20 tahun itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.