Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menutup sebahagian Jalan Raja dan dijadikan laluan sehala buat semua jenis kenderaan, mengikut jadual sepanjang bulan Ramadan ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penutupan itu membolehkan kenderaan guna laluan sehala dari Jalan Sultan Hishamuddin hingga ke simpang Jalan Tun Perak hingga ke simpang Lebuh Pasar Besar dari 12.01 tengah malam hingga 1 tengah hari.

Manakala laluan sebaliknya akan dibuka dari jam 1.01 petang hingga 12 tengah malam.

Penutupan itu bersempena dengan Bazar Ramadan yang akan beroperasi di Jalan Raja dari 6 Mei hingga 5 Jun.

Nor Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tapak Bazar Ramadan di Jalan Raja pada Jumaat.

344 petak gerai di tapak Bazar Ramadan itu akan bermula dari persimpangan lampu isyarat Leboh Pasar Besar hingga ke Jalan Tun Perak.

Tambahnya, hanya lima kategori jualan yang dibenarkan di lokasi Bazar Ramadan Jalan Raja.

Antaranya adalah pakaian, barangan atau peralatan kering, makanan kering berbungkus, perhiasan dan aksesori diri serta aksesori rumah.

Kos keseluruhan untuk pelaksanaan Bazar Ramadan di Jalan Raja adalah sebanyak RM2.5 juta.