KUCHING:Arahan penutupan Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) di Jalan Astana, Kuching selama tujuh hari oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak adalah dikaitkan dengan kes daripada kluster Bah Arnab.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Isnin.

Menerusi sidang media hari ini, Uggah mengumumkan bahawa sekolah terbabit akan ditutup selama tujuh hari bermula 19 Oktober 2020 sehingga 25 Oktober 2020.

“Dr Chin Zin Hing (Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak) mengesahkan bahawa penutupan ini kerana sekolah tersebut dikaitkan dengan kes daripada kluster Bah Arnab di Kuching.

“Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan seperti yang terkandung dalam surat Arahan Penutupan Sekolah kerana pengesahan kes jangkitan COVID-19 daripada Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Operasi Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia,” kata Uggah.

Selain itu, JPBN Sarawak juga memutuskan semua pusat hiburan di negeri itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan dan tidak beroperasi melebihi jam 12 malam.

“Sekiranya gagal mematuhi arahan, maka pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah untuk mengeluarkan notis pemberitahuan bagi pusat hiburan terlibat dan PBT dikehendaki mengambil langkah penutupan premis tersebut selama 14 hari,” tambahnya.

Antara lain, Sarawak hari ini tidak merekodkan pertambahan kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 768 kes setakat ini.