Penyakit hawar berdarah atau Heamoragic Septicaemia (HS) di negara ini dikategorikan sebagai terkawal dengan tiada kematian ternakan baharu dilaporkan.

Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ia berikutan langkah proaktif Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu melakukan vaksin kepada hampir 2,000 lembu dan kerbau di 160 ladang ternakan di Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Menurut Datuk Seri Ahmad Shabery, setakat 9 Jun lalu, sejumlah 273 kematian lembu dan kerbau direkodkan dan tiada kes baharu dikesan.

“Isu paling penting adalah mengenai pelupusan.”

“Apabila mendapati jangkitan telah berlaku atau ternakan mereka (penternak) sudah berjangkit, mereka mesti melupuskan dengan kaedah-kaedah yang ditentukan oleh pihak veterinar,” katanya selepas menghadiri Pra Pelancaran Kumpulan Keselamatan Nelayan (KUKENAL) di Kemaman pada Sabtu.

Menurutnya, penternak juga perlu melaporkan segera kepada pihak JPV sekiranya ternakan mereka mengalami tanda-tanda dijangkiti penyakit hawar berdarah.

Penyakit hawar berdarah mula dikesan 26 Mei lalu di daerah Marang.

Ia membabitkan 10 penternak masing-masing lima di Marang dan Kuala Terengganu.