'Penyakit' yang dialami Kabinet kerajaan Pakatan Harapan ketika ini serius dan hanya dapat dipulihkan dengan kaedah pembedahan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Tun Dr Mahathir Mohamad perlu membuat pembedahan besar bagi mengelak penyakit berkenaan dari terus berjangkit.

Menurut Abdul Hadi, beliau yakin Dr Mahathir mampu mengendalikan rawatan dan pembedahan itu sekali gus menyelamatkan keadaan.

“Nampak kenyataan Perdana Menteri itu perlu kepada pembedahan. Dia seorang doktor kan, dia tahulah nak bedah kat mana kalau jasad manusia.

“Dia pula seorang ahli politik paling lama sejak zaman Tengku (Razaleigh) dan Tun Razak, jadi dia boleh tengoklah mana yang kena kerat, mana kena bedah, mana yang kena jahit.

“Kalau lihat kepada gempa yang berlaku tu, kalau tengok kepada merintihnya tu sakit besar, penyakit besar tapi boleh diselamatkan insya-Allah... Saya percaya Perdana Menteri boleh menyelamatkan keadaan,” ujar Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan akan mempertimbangkan saranan merombak Kabinet, susulan kekalahan teruk Pakatan Harapan sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November lepas.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, sebarang keputusan untuk merombak Kabinet bergantung kepada persetujuan semua parti komponen dalam Pakatan Harapan.