Modus operandi terbaharu yang digunakan pengedar dadah adalah mensasarkan pelajar untuk menjadikan mereka penagih dadah.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tindakan itu bagi memperluaskan pasaran bahan terlarang itu.

"Pengedar dadah kini bertindak menggunakan pelajar untuk menjadi penagih supaya pasaran dadah dapat dipertingkatkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu kajian Kementerian Pendidikan mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

Daripada 35,755 responden merangkumi pelajar Tingkatan Satu hingga Enam, 1,457 daripada mereka didapati mengambil dadah.

Hasil kajian mendapati pelajar Tingkatan Lima mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti Tingkatan Empat (32.5 peratus), Tingkatan Tiga (19.8 peratus), Tingkatan Dua (5.4 peratus) dan Tingkatan Satu (0.08 peratus).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut melahirkan kebimbangan kerajaan berhubung perkara itu, sambil menggesa semua pihak khususnya ibu bapa agar memainkan peranan.

"Saya ingin menegaskan bahawa masyarakat keseluruhannya dan ibu bapa khususnya jangan hanya bergantung kepada agensi penguatkusaan dan pemulihan untuk membantu pelajar supaya jangan terlibat dengan dadah," tegasnya.

Kedah mencatatkan penyalahgunaan tertinggi melibatkan pelajar sekolah iaitu 274 orang. Ini diikuti Kelantan 197 orang dan Perak 180 orang.

Lebih membimbangkan kebanyakan daripada pengguna dadah didapati menggunakan dadah sintetik.

Sejumlah 74 peratus daripadanya mengambil methamphetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain.

Sehubungan itu, satu mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan dadah telah diwujudkan bagi mempercepat proses perbicaran dan keputusan mahkamah.

"Antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat adalah mengambil langkah mencairkan aset pengedar dadah yang dirampas dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Hasil daripada rampasan itu kita boleh gunakan untuk membantu aspek pencegahan, pemulihan dan penguatkuasaan," katanya.

Ujarnya, mesyuarat berkenaan turut meluluskan cadangan penubuhan makmal khas ujian dadah berbahaya di Hospital Kuala Lumpur.