Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyelaraskan projek perumahan mampu milik dan diletakkan di bawah KPKT bagi memudahkan pengurusan.

Antara projek perumahan mampu milik yang akan diselaraskan di bawah KPKT adalah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, KPKT bakal mengemukakan Kertas Kabinet berhubung perkara tersebut untuk dipertimbangkan dalam tempoh dua minggu yang akan datang.

“Dalam perancangan, KPKT juga akan membuat Kertas Kabinet agar diberikan kelulusan untuk menyelaraskan semua projek-projek perumahan di bawah satu bumbung, termasuk PR1MA, SPNB, PP1M.

“Ada 10 ke 11 agensi perumahan yang ada dalam senarai dan KPKT akan membuat kertas draf untuk diselenggarakan dengan secepat mungkin,” kata Zuraidah yang juga Ahli Parlimen Ampang dalam sidang media, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa nama projek PR1MA akan dijenamakan semula kepada Perumahan Rakyat Harapan Malaysia.

Hal ini adalah kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gembira dengan nama ‘1Malaysia’

“Tun M tidak gembira dengan nama ‘1Malaysia’. Hal ini kerana ‘1Malaysia’ disifatkan sebagai satu jenama sedangkan ia merupakan tanggungjawab negara untuk membantu rakyat.

“Oleh itu, Tun M tidak ingin menggunakan ‘1Malaysia’. Inilah antara sebab Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga akan dinamakan semula kepada Bantuan Sara Malaysia,” jelas beliau.