Penyelewengan dana: SPRM siasat projek KKLW di seluruh negara

Penyelewengan dana: SPRM siasat projek KKLW di seluruh negara
SPRM siasat semua projek KKLW di seluruh negara. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti beberapa projek yang memberi manfaat kepada kepentingan rakyat di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, bagaimanapun pihaknya akan memfokuskan siasatan di Sabah terlebih dahulu sebelum melebarkan siasatan ke negeri-negeri lain.

"Buat waktu ini, kita (SPRM) hanya memberi fokus (penyelewengan KKLW) di Sabah. Kemudian kita akan lebarkan ke negeri-negeri lain," katanya selepas mengadakan lawatan ke Rawatan Loji Air (LRA) di Sungai Intan di Semporna, Sabah hari ini.

BACA: Penyelewengan dana KKLW: Shafie Apdal mungkin dipanggil SPRM
BACA: Adik presiden parti pembangkang Sabah ditahan SPRM

BACA: Lagi ahli politik Sabah ditahan SPRM

BACA: Seleweng dana kementerian: Pemimpin kanan parti politik Sabah ditahan SPRM

Tambah Dzulkifli, setakat ini, seramai 45 saksi dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana KKLW di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Katanya, jumlah itu termasuk tujuh individu yang ditahan SPRM di Putrajaya, Kota Kinabalu dan Tawau.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu yang juga adiknya, Datuk Mohd Yusof Apdal, Dzulkifli tidak memberi apa-apa pengesahan berhubung perkara itu.

"Kita akan memanggil semua yang terlibat dalam kes penyelewengan ini," katanya.

Beliau turut berkata, pihaknya tidak memilih bulu dalam siasatan kes tersebut kerana tangkapan tidak hanya dilakukan ke atas parti pembangkang sahaja sebaliknya turut melihatkan parti UMNO.

"SPRM merupakan agensi rakyat bagi memastikan dasar dan polisi yang diputuskan dilaksanakan dengan jujur serta amanah.

"Sekiranya kita dapati berlaku unsur rasuah dan salah guna kuasa pada peruntukan yang disalurkan demi kepentingan serta kebajikan rakyat, siapa nak bela mereka kalau bukan SPRM," katanya.

Sementara itu, Dzulkifli tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi projek infrastruktur di Semporna yang dipercayai diseleweng.