Seorang pemilik syarikat kontraktor di Perlis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes berkaitan penyalahgunaan dana membabitkan nilai hampir RM190,000.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan Dana Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Universiti Utara Malaysia (UUM) membabitkan tuntutan penganjuran 11 program sekitar tahun 2013 hingga 2014.

Lelaki itu ditahan di rumahnya di Beseri, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, mengesahkan penahanan lelaki itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.


Dia merupakan individu kedua ditahan selepas penahanan seorang pensyarah kanan wanita UUM yang juga suspek utama kes.

Wanita berusia 46 tahun berstatus Prof Madya, ditahan SPRM pada 28 Jan lalu kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan tuntutan peruntukan bagi menjalankan program ICoE berjumlah kira-kira RM14 juta antara 2012 hingga 2015.

Pensyarah wanita berkenaan dipercayai mempunyai talian persaudaraan dengan suspek.