Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mahu lebih agresif mencipta impak secara langsung kepada masyarakat dan tidak hanya aktif dengan dunia penyelidikan akademik semata-mata.

Program demi program telah disusun dan bakal diterjemah melalui Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2017 yang bakal berlangsung pada 24 -26 Oktober ini di UMK Kampus Jeli.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Datuk Dr Ibrahim Che Omar menegaskan ia menjadi platform yang bakal menyaksikan adunan dan sulaman hasil penyelidikan UMK dengan pemain-pemain industri untuk mencipta impak lebih besar kepada ekosistem di luar universiti.

“Kita utamakan fokus mengukuhkan kekuatan UMK iaitu 'translational research’, penyelidikan yang ada impak secara langsung kepada masyarakat dari segi sosio-ekonomi dan peluang pekerjaan,” kata Dr Ibrahim semasa ditemubual Astro AWANI di sini, baru-baru ini.


Tambahnya, ia selaras dengan kehendak semasa yang sedang berhadapan dengan pelbagai ‘disruption’ atau gangguan yang wujud kesan daripada gelombang Revolusi Industri 4.0 yang sedang melanda dunia.

“Minggu Inovasi dan Penyelidikan UMK bukan sahaja mengenai pameran mengenai inovasi ciptaan kami, tetapi juga akan menjemput industri untuk membuat padanan dan ambil hasil penyelidikan ini dan diterjemah kepada aktiviti perniagaan dan keusahawanan,” ujarnya.