Usaha penyelidikan klon pisang FGV Holdings Bhd (FGV) nampaknya bakal membuahkan hasil apabila ia dijangka menampung kira-kira 30 peratus daripada permintaan negara terhadap buah tersebut menjelang 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata Pusat Inovasi FGV di Bandar Enstek, Negeri Sembilan telah menghasilkan pelbagai klon pisang sejak 2004, dengan pengeluaran bermula pada 2007 bagi memenuhi permintaan terhadap tanaman selingan semasa penanaman semula kelapa sawit dan pengusaha tanaman pisang di negara ini.

Ia kini menyasar satu juta klon pisang pada 2021, peningkatan 100 peratus daripada pengeluaran sekarang bagi menampung permintaan pasaran khusus terhadap pisang segar dan industri makanan berasaskan pisang.

"Ini sejajar dengan langkah strategik FV untuk mengembangkan inisiatif Perladangan Bersepadunya dan pada masa yang sama meningkatkan pengeluaran pisang tempatan dengan sasaran 50 peratus bahagian pasaran atau bersamaan dengan 1.7 juta anak benih menjelang 2022 yang seterusnya akan menambah baik mata pencarian pengusaha tanaman pisang di Malaysia," kata Haris.

Anak benih klon pisang FGV terbukti berkualiti tinggi dengan lebih enam juga ramet (klon individu) pisang berangan telah terjual antara 2007 hingga Julai 2020, menjadikan FGV salah satu daripada pengeluar anak benih klon pisang terbesar di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jenis pisang yang paling mendapat permintaan daripada pengusaha tempatan adalah berangan dan ketika ini FGV menghasilkan 850,000 ramet setiap tahun. Tanaman induk klon pisang berangan FGV diperakui oleh Jabatan Pertanian di bawah Skim Pengesahan Bahan Penanaman.

Anak benih klon pisang yang dihasilkan FGV bebas penyakit, mempunyai pertumbuhan seragam dan boleh menghasilkan hasil lebih awal, katanya.

Anak benih klon pisang FGV yang termasuk pisang tanduk, lang, nipah, nangka, rastali, mas dan lemak manis boleh dibeli secara pukal di lima nurseri dan cawangannya di Bandar Enstek (Negeri Sembilan), Trolak (Perak), Jerantut (Pahang), Bukit Tongkat (Johor), dan Lahad Datu (Sabah).

Anak benih itu juga dijual secara dalam talian menerusi Shopee di bawah FGV Agri Services Sdn Bhd.

Susulan kejayaan ini, FGV kini membangunkan bahan penanaman klon bagi tanaman bernilai tinggi lain seperti nanas, buluh, vanila dan tanaman akuatik bagi menampung permintaan tinggi pasaran.

-- BERNAMA