PENERIMAAN Malaysia terhadap Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bukan sahaja mencerminkan komitmen negara ini dalam usaha memerangi jenayah berat peringkat antarabangsa serta dapat membantu dalam mewujudkan keamanan dan keselamatan global malah ia juga dilihat bakal membuka saluran undang–undang undang baru kepada mana–mana pihak yang ingin dapatkan keadilan.

Wisma Putra dalam kenyataannya baru–baru ini berkata Malaysia telah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan surat berkenaan telah diserahkan kepada pihak Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB).

ICC telah ditubuhkan lebih 20 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1998 dan mula beroperasi pada tahun 2002.

Melalui keanggotaan negara kita ke dalam ICC ini, Malaysia kini menjadi negara yang ke 124 yang menganggotai ICC.

ICC ditubuhkan sebagai satu tribunal tetap untuk membicarakan kes jenayah berat yang melibatkan pembasmian kaum, jenayah terhadap hak asasi manusia, jenayah perang, jenayah kekerasan dan sebagainya.

Pejabat rasmi mahkamah ICC ini ialah di The Hague, Belanda tetapi perbicaraan boleh diadakan di mana–mana lokasi jika difikirkan perlu, cekap, cepat dan selamat.

Semenjak ia beroperasi, ICC telah digunakan sebagai saluran untuk mendapatkan keadilan oleh pihak–pihak yang teraniaya akibat daripada jenayah kemanusiaan berat dan serius yang berlaku di serata dunia.

Ini sesuai dengan peranan yang dimainkan oleh ICC itu sendiri iaitu untuk menjadi sebuah mahkamah yang memberi ruang dan peluang kepada semua orang tanpa mengira latar belakang untuk mendapatkan perlindungan daripada menjadi mangsa penganiayaan daripada mana–mana pihak yang tidak bertanggungjawab serta bagi menegakkan keadilan terhadap segala penindasan dan kekejaman yang telah dilakukan kepada diri mereka.

ICC dilihat banyak membantu melindungi golongan yang lemah seperti golongan wanita dan kanak–kanak yang banyak menjadi mangsa penindasan dan kekejaman akibat daripada perang serta jenayah kemanusiaan yang telah dilakukan terhadap diri mereka.

Penyertaan Malaysia ke dalam ICC ini bakal memberi banyak peluang kepada negara kita untuk mendapatkan keadilan khususnya terhadap jenayah berat yang telah dilakukan terhadap negara kita seperti tragedi tembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 yang telah menyebabkan seramai 298 orang kehilangan nyawa mereka.

Pesawat Malaysia Airlines MH17 adalah sebuah penerbangan penumpang antarabangsa yang dijadual bergerak dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200ER tersebut telah terhempas dipercayai akibat ditembak jatuh berdekatan Torez di Donetsk, Timur Ukraine kira–kira 40 km (25 batu) dari sempadan dengan Rusia pada 17 Julai 2014.

Mangsa kejadian terdiri daripada mangsa yang datang dari pelbagai negara termasuk Australia, Belgium, Kanada, Jerman, Indonesia, Malaysia, Belanda, New Zealand, Filipina, dan United Kingdom.

Insiden terbabit merupakan kejadian malang kedua bagi industri penerbangan Malaysia iaitu kira–kira empat bulan selepas peristiwa kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014.

Usaha untuk menyiasat tragedi yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 telah dibawa oleh beberapa buah negara termasuk Malaysia pada tahun 2015 yang lalu ke Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB), namun usaha berkenaan telah halang oleh pihak Rusia melalui pengunaan kuasa veto yang ada pada mereka.

Tragedi yang melibatkan pesawat Malaysia Airlines MH17 ini boleh dianggap sebagai satu jenayah berat kemanusiaan dan boleh dibawa ke pengetahuan ICC untuk proses perbicaraan.

Sekiranya tragedi terbabit dibawa ke pengetahuan ICC untuk proses perbicaraan agak mudah untuk kita mengenalpasti punca sebenar yang membawa kepada berlakunya tragedi berkenaan serta mengenalpasti pihak–pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi terbabit kerana ICC sudah pun memiliki banyak pengalaman serta tenaga pakar bagi menyiasat segala jenis jenayah berat yang berlaku diserata dunia.

Penyertaan Malaysia ke dalam ICC ini juga dapat memberi peringatan kepada semua negara dunia supaya tidak melakukan sebarang jenayah berat kemanusiaan dalam negara kita seperti peristiwa pembunuhan kejam yang berlaku terhadap Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Un pada 13 Februari 2017 di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dengan mengunakan bahan kimia terlarang.

Bekas President ICC sendiri Silvia Fernandez de Gurmendi ada menyatakan bahawa isu pembunuhan kejam ini boleh dibawa ke pengetahuan ICC untuk siasatan dan perbicaraan lanjut.

Dengan menyertai ICC kini Malaysia dapat melindungi hak–hak warganya serta pada masa yang sama dapat memberi amaran kepada mana–mana pihak termasuk negara tertentu supaya tidak terus memandang rendah terhadap keupayaan perundangan negara kita.

Dengan keadaan keselamatan dunia yang masih tidak menentu pada masa kini terutamanya ancaman berterusan yang datang dari kumpulan pengganas, penyertaan negara kita ke ICC sedikit sebanyak dapat memberi negara kita sokongan dan bantuan sekiranya ia diperlukan kelak terutamanya dari aspek perundangan.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.