Kira-kira 200 penyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkumpul di hadapan bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, malam tadi untuk menandakan solidariti bersama Presiden UMNO itu.

Kumpulan yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru Datuk Lokman Noor Adam mula berkumpul sejak pukul 8.00 malam dan antara mereka memakai baju kemeja-T berwarna jingga bertulis 'Lokap SPRM' bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap penahanan Ahmad Zahid oleh SPRM pada Khamis.

Turut serta dalam kumpulan itu ialah isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya Datuk Nurul Hidayah.

Dalam ucapannya Hamidah mendakwa Ahmad Zahid pernah ditawarkan supaya meninggalkan UMNO kerana parti itu dikatakan tidak lagi diterima rakyat dan patut dibubarkan, namun menurut beliau suaminya berkata selagi ada nyawa dia tidak akan meninggalkan atau menyerahkan UMNO kepada Pakatan Harapan.

Sementara itu, Lokman yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata penahanan Ahmad Zahid adalah satu cubaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melemahkan dan memusnahkan UMNO.

"Apabila 'jeneral' UMNO ditahan, mereka mahu lihat kita (UMNO) akan lemah dan longlai. Mereka boleh tekan kita tetapi kita akan lawan, lagi kuat kita lawan demi UMNO," katanya.

Lokman juga mendakwa penahanan Ahmad Zahid dibuat kerana presiden parti enggan tunduk kepada desakan untuk membubarkan UMNO.

"Ada di kalangan pemimpin UMNO ditawarkan pihak tertentu dengan jawatan dan wang ringgit untuk meninggalkan UMNO," katanya.

Ahmad Zahid ditahan SPRM pada Khamis berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana sebuah yayasan.

BACA: Ahmad Zahid enggan diikat jamin, rela bermalam di lokap SPRM

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan Ahmad Zahid akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM berkata Ahmad Zahid ditahan pada 3.15 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8.00 pagi hari ini untuk pertuduhan itu.

-- BERNAMA