Seorang penyokong Barisan Nasional (BN) disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kumpulan mengiringi calon ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lelaki berusia 59 tahun itu dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri di kawasan berkumpul penyokong BN kira-kira pukul 9.20 pagi.

"Pasukan kecemasan dari sebuah pusat perubatan swasta yang dikejarkan ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mengenai perjalanan proses penamaan calon itu, Ahmad Dzaffir berkata tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan.

Sementara itu, menurut ahli-ahli BN di ruang Whatsapp bersama media, Mamat Awang dari Kuala terengganu dikatakan rebah secara tiba-tiba semasa perarakan itu.

Beliau bagaimanapun tidak berkongsi lokasi hospital tersebut namun dipercayai mangsa dibawa ke Hospital Kajang.

Tambahnya lagi, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon PRK Semenyih Zakaria Hanafi turut ke hospital untuk melawat ahli keluarga arwah.