Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek ADAB I dan II yang dijadual esok, ditangguhkan ke satu tarikh dimaklumkan kemudian.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata ia susulan pengumuman penutupan sekolah di daerah Langkawi oleh Kementerian Pendidikan hari ini.

"Maka, pelaksanaan peperiksaan UPKK kepada 207,343 calon yang diselaraskan JAKIM di seluruh negara bagi kedua-dua subjek itu esok, adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata semua agensi bertanggungjawab melaksanakan KAFA diharap dapat mengambil tindakan segera terhadap arahan terbaru itu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini, mengumumkan semua sekolah di seluruh negara dibuka seperti biasa esok kecuali Langkawi yang masih mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.
Setakat 7 malam ini, bacaan IPU dicatatkan di Langkawi ialah 158.