Peragut ‘Lone Ranger’ yang menjadikan kaum wanita di sekitar Kuala Terengganu sebagai sasaran utama tumpas selepas meragut dua pelajar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata suspek yang berusia 24 tahun itu diberkas selepas lapan jam melakukan aktiviti tersebut.

Katanya suspek diberkas kira-kira jam 10 malam di Taman Permint Jaya, Chendering bersama rakannya yang berusia 17 tahun pada Khamis.

“Suspek aktif melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian dengan menunggang motosikal dan hasil siasatan awal rakan mangsa tidak terbabit dengan kejadian ragut berkenaan.

“Suspek yang dikenali dengan 'Abang Sang' juga memfokuskan kaum wanita yang menunggang motorsikal secara berseorangan tanpa mengira waktu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang Khamis lalu, seorang pelajar diragut ketika menaiki motosikal bersama rakannya di Kampung Kolam, Kuala Ibai.

Kira-kira 30 minit selepas itu, beg tangan seorang penuntut sebuah kolej yang diletakkan di dalam raga motosikal dilarikan dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang.

Idris berkata suspek yang juga seorang penganggur bertindak mencampakkan beg mangsa selepas mengambil barangan berharga.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Chendering itu dipercayai aktif dalam kegiatan ragut sejak April lalu.

Jelasnya, susulan tangkapan itu pihaknya percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut di sekitar Kuala Terengganu.

Pihak polis juga turut merampas dua buah motosikal,sebuah telefon bimbit jenis iPhone, kad sim dan dompet.

Beliau berkata suspek juga positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai lima kes lampau bersabit kes samun dan barang-barang curi.

Suspek ditahan reman selama lima hari mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut.