Kerajaan negeri Perak akan menyediakan tempat perlindungan dan bantuan makanan untuk gelandangan di negeri ini selewat-lewatnya minggu ini, bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan bantuan kebajkan yang lebih teratur, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata pihaknya akan mencontohi Kementerian Wilayah Persekutuan, yang menyediakan tempat khusus untuk golongan berkenaan, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selain itu, kami juga perlu melihat sama ada mereka ini benar-benar golongan gelandangan, kerana ada juga individu yang mengambil kesempatan daripada bantuan yang diberikan.

"Ada di antara mereka merupakan penagih dadah atau pun tidak mempunyai tempat tinggal akibat tiada pekerjaan, ini semua akan diteliti terlebih dahulu," kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan golongan gelandangan, di sekitar Jalan Dato Onn Jaafar di sini pada Rabu.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya telah merangka bentuk bantuan yang hendak diberikan kepada mereka terutama sekali sepanjang PKP dan juga selepas perintah itu ditarik semula, dari segi mendapatkan tempat tinggal dan pekerjaan.

Katanya, ketika ini kira-kira 100 orang gelandangan yang dikesan terdapat di bandar raya Ipoh.

-- BERNAMA