Tutup

Perak bakal kuat kuasa larangan bina menara pemancar atas bangunan

Perak bakal kuat kuasa larangan bina menara pemancar atas bangunan
Syarikat telekomunikasi selepas ini akan diminta supaya membina menara pemancar telekomunikasi di atas tanah. - Gambar fail
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menguatkuasakan larangan pembinaan menara pemancar telekomunikasi di atas bangunan di seluruh negeri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata perkara itu telah diputuskan dalam Majlis Penasihat Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia (MPIT) pada 16 Mei lalu dan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk diluluskan.

"Kami telah memutuskan tidak akan ada lagi pembinaan menara pemancar di atas bangunan kerana kami mahu ia dibina di atas tanah.
"Ini bagi memudahkan kami untuk melakukan pemantauan ke atas menara pemancar yang ada di negeri ini kerana tidak mahu lagi adanya menara pemancar telekomunikasi yang dibina secara haram," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Laman Seri Ridzuan, Kediaman Lama Menteri Besar di sini malam ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan meminta syarikat telekomunikasi (Telco) supaya selepas ini membina menara pemancar telekomunikasi di atas tanah.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata rakyat di negeri ini tidak perlu bimbang dengan kadar radiasi pancaran menara dan struktur pemancar telekomunikasi kerana mengikut amalan keselamatan dan piawaian yang ditetapkan.
Beliau berkata tindakan pihak tertentu yang membantah pembinaan menara telekomunikasi atas alasan mengundang penularan kadar radiasi tinggi, sebenarnya tidak berasas kerana pancaran gelombang radiasi dihasilkan menara telekomunikasi sangat rendah dan dijamin selamat.

"Tidak lama lagi, Perak akan menerima kemudahan teknologi 5G dan saya berharap rakyat tidak perlu bimbang dengan pembinaan lebih banyak lagi menara pemancar telekomunikasi kerana ia tidak akan memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan.

"Jadi, saya minta rakyat memberi kerjasama kepada syarikat Telco dalam usaha kerajaan negeri memberi kemudahan yang terbaik kepada rakyat dalam aspek telekomunikasi," katanya.

-- BERNAMA

Tag: menara pemancar telekomunikasi, larangan pembinaan, kerajaan negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Majlis Penasihat Pembangunan Telekomunikasi dan Multimedia, Majlis Mesyuarat Kerajaan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.