Kerajaan negeri Perak membuat keputusan semua pengusaha premis makanan boleh membenarkan orang ramai makan di dalam restoran mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, keputusan sama ada untuk membenarkan pelanggan makan di dalam restoran atau tidak terpulang sepenuhnya kepada para pengusaha.

Menurut beliau, sekiranya pengusaha-pengusaha telah bersedia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan, maka pelanggan dibenarkan makan di dalam restoran.

“Jika belum bersedia, eloklah tangguhkan dahulu. Seperkara lagi ingin diingatkan, umat Islam masih ditegah untuk makan di restoran pada waktu siang hari dalam bulan Ramadan ini,” katanya ketika membentangkan Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Perak fasa dua di pejabatnya, di sini hari ini.

Ahmad Faizal turut mengumumkan aktiviti riadah di taman-taman rekreasi awam di negeri itu dibuka semula kepada orang ramai, berkuatkuasa serta merta.

“Bagaimanapun, orang ramai diingatkan bahawa mereka wajib mematuhi SOP ketat normal baharu khususnya mematuhi penjarakan sosial sewaktu beriadah di taman rekreasi awam,” ujar beliau lagi.