Kerajaan negeri akan memberi kelonggaran untuk mana-mana sekolah tahfiz dan agama mendaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, tempoh kelonggaran itu masih belum diputuskan, namun beliau berharap pihak yang terbabit mematuhi arahan yang dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

"Mereka dikehendaki untuk mendaftar tetapi saya tengok di situ ia tidak menjadi satu kesalahan, cuma bila tidak mendaftar statusnya tidak diiktiraf.

"Saya memberikan pertimbangan, saya beri tempoh kelonggaran kepada mereka supaya memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JAIPk, untuk membolehkan sekolah ini didaftarkan," katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengarahkan pusat tahfiz di Kepong yang dikaitkan dengan kes pencabulan sekurang-kurangnya sembilan pelajar oleh pengetuanya, agar ditutup.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lagi bertolak ansur dengan pusat tahfiz yang tidak sah di Kuala Lumpur.

Asmuni berkata, setakat ini negeri Perak tidak akan mengikut langkah tersebut sehingga tempoh kelonggaran itu berakhir.

"Setakat ini saya tidak bercadang untuk mengambil tindakan sepertimana Wilayah Persekutuan, saya akan bincang dengan JAIPKdahulu mengenai tempoh munasabah untuk mereka.

"Selepas itu mungkin apa yang dilakukan oleh Wilayah Persekutuan akan kita laksanakan di Perak.

"Jumlahnya banyak (tahfiz) contohnya bila keluarga mereka meninggal, tiada siapa mahu tuntut rumah jadi adik beradik sepakat menjadikannya sebagai pusat tahfiz," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya isu Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, beliau berkata, Amanah Perak akan membantu berkempen bagi kemenangan calon yang bertanding.