Kerajaan Negeri Perak mencadangkan Pusat Pertanian Titi Gantung, Bota dinaik taraf menjadi pusat pengajian dan penyelidikan yang diletakkan di bawah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.Zambry Abd Kadir, ini kerana kerajaan negeri melihat pusat pertanian itu berpotensi dinaikkan taraf menjadi pusat pengajian dan penyelidikan untuk kepentingan rakyat.

"Kerajaan negeri telah mewujudkan sebuah universiti dikenali Universiti Sultan Azlan Shah dan konsep universiti yang kita boleh wujudkan merupakan satu konsep universiti di mana tempat-tempat dan pusat latihan yang diwujudkan Kerajaan Persekutuan boleh dijadikan sebagai kolej universiti dan diletakkan di bawah USAS.

"Saya hendak menjelaskan kita bukan hendak ambil alih, boleh diteruskan dan dinaikkan nilai kalau dulu hanya dikeluarkan sijil tetapi selepas ini diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah." katanya.

Dr. Zambry berkata demikian kepada pemberita setelah merasmikan Festival Seni Budaya Negeri Perak dan JKKK Kampung Teluk Kepayang bersempena Pemukiman Daerah Perak Tengah hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan Kesenian Kebudayaan Komunikasi dan Multimedia Perak, Datuk Nolee Ashlin Mohd Radzi, Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Ditanya mengenai permasalahan rakyat, Dr. Zambry berkata kebanyakan masalah yang dikemukakan telah diselesaikan oleh wakil-wakil rakyat mereka.

"Dalam konteks Parit dan Bota saya rasa dari segi permasalahan itu tidak begitu rumit (complicated) kami hanya memberi tumpuan kepada perkara-perkara besar yang telah dijanjikan. Cuma mengambil masa untuk melasaknakan.

"Umpamanya hospital daerah di Seri Iskandar yang telah pun diluluskan jadi kita minta supaya dapat disegerakan," katanya.