Polis Perak berjaya memberkas 1,027 orang dalam Op Icebreaker yang dijalankan di seluruh negeri bagi tempoh 29 Julai hingga 4 Ogos lalu, catatan tertinggi berbanding operasi dijalankan di negeri lain.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, dalam operasi lapan hari itu, 89 pengedar diberkas dan daripada bilangan itu, 54 orang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Menurutnya, seramai 259 orang ditahan kerana memiliki dadah manakala 679 orang lagi ditahan ekoran ujian air kencing yang dijalankan terhadap mereka.

"Jumlah tangkapan itu adalah paling tinggi berbanding kontinjen-kontinjen polis negeri yang lain.

“Operasi pada kali ini melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dengan elemen Unit Pengesan K9, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

BACA: 'Jumpa dan beredar' taktik elak dikesan polis

BACA: 381 penagih, pengedar dadah ditahan menerusi Op Icebreaker di Johor

Lim memberitahu, pelbagai jenis dadah turut dirampas dengan nilai keseluruhan RM88,995.50 termasuk heroin yang mencatatkan rampasan tertinggi dengan berat 1,139.61 gram bernilai RM56,980.50.

Katanya, sejumlah 23 lubuk dadah diserbu semasa operasi itu dan sembilan orang yang dikenal pasti sebagai tokan telah berjaya ditahan.

Di samping itu, katanya, operasi berkenaan juga berjaya menahan 15 orang yang berada dalam senarai orang yang dikehendaki.