Dalam usaha mencari sumber baru air bersih, termasuk penggunaan teknologi Penapisan Tebing Sungai (RBF), kerajaan negeri Perak turut berhadapan dengan masalah keadaan sungai yang semakin cetek.

Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, isu ini berlaku di kawasan-kawasan di sepanjang Sungai Perak yang terletaknya pusat pemprosesan air Lembaga Air Perak (LAP).

Menurut beliau, terdapat beberapa kawasan yang kini mengalami masalah penurunan paras air yang sangat serius.

Malah, terdapat di sesetengah kawasan, sungainya kelihatan luas tetapi sangat cetek sehingga boleh berjalan melintasinya.

"Saya berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan perkara ini secara bersama. Kita sekarang menghadapi konflik antara menangani masalah sumber air bersih dengan beberapa polisi yang melibatkan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Persidangan Tahunan Jawatankuasa Tindakan Jurutera Air Daerah Se Malaysia (JTJAD) ke-30 di Hotel Casuarina @ Meru di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Ketua Pengarah Bahagian Bekalan Air Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Datuk Noor Azahari Zainal Abidin dan Pengurus Besar LAP, Datuk Mohd Yusof Mohd Isa.

Penggunaan kaedah RBF sebagai sumber alternatif telah dilaksanakan di Loji Rawatan Air Kota Lama Kiri (Kuala Kangsar).

Zambry melahirkan kebimbangan sekiranya kerja-kerja mendalamkan sungai tidak dijalankan, tidak mustahil beberapa sungai di negeri ini akan 'hilang'.

Dalam pada itu, beliau berkata, seperti negeri-negeri lain, Perak juga tidak terkecuali mengalami masalah kehilangan air tidak berhasil (NRW), sekitar 20 hingga 30 peratus.

"Salah satu masalah kita ialah umur paip air yang sudah tua dan tidak boleh mampu mengalirkan air dengan lancar yang mengakibatkan berlaku kebocoran bergelen-gelen air," ujarnya.

Beliau menjelaskan, antara faktor yang melambatkan proses penyelesaian masalah tersebut ialah keluasan negeri Perak di mana keseluruhan paip air dianggarkan kira-kira 11,000 kilometer.

Acara tahunan JTJAD yang berlangsung daripada 18 sehingga 21 Dis 2017 itu telah diadakan tiga kali di negeri Perak sejak tahun 1987.

Zambry turut merasmikan logo baharu JTJAD di majlis itu.