Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan diharap dapat membina 2,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Perak pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim berkata ia penting bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman.

"Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan diminta untuk menggerakkan usaha agar kementerian dapat membina rumah tersebut di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) di Pavilion Zoo Taiping di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 semalam mengumumkan bahawa kementerian berkenaan akan membina 9,850 unit rumah di bawah PPR tahun depan dengan peruntukan RM134 juta.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata 11,250 unit rumah PPR sedang dalam pembinaan dan RM576 juta ringgit disediakan untuk tujuan itu.

Rusnah berkata pihak LPHP akan membina 1,200 unit rumah mampu milik di setiap daerah di Perak tahun depan dengan tumpuan diberi kepada golongan B40.

Dalam perkembangan lain, Rusnah berkata 2,939 OKU di Perak telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh Januari hingga September dan angka itu disasar meningkat kepada 4,000 akhir tahun ini.

Katanya golongan itu perlu didaftarkan dengan JKM untuk memudahkan mereka dibantu bagi pemulihan dan mereka yang mempunyai bakat dan kemahiran dapat diketengahkan.

Katanya dataran khas bagi membantu OKU menjual dan mempamerkan produk yang mereka hasilkan sendiri akan diwujudkan tahun untuk membantu menjana pendapatan mereka. -- BERNAMA