Kerajaan Perak sedang melihat kemungkinan membina laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari arah Terowong Menora ke Kuala Kangsar di sini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata masalah kesesakan trafik di kawasan itu terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah selain kerap kali berlaku kemalangan maut, harus ditangani.

"Kita mendapati laluan di kawasan Terowong Menora begitu bermasalah apabila sering berlaku kemalangan demi kemalangan, ini mendatangkan kesusahan kepada orang ramai terutamanya apabila berlaku kesesakan yang begitu teruk menyebabkan perjalanan yang dirancang menjadi tergendala.

"Saya akan minta YB (Abdul) Yunus (Jamhari, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri) mengadakan perbincangan dengan pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan perkara (laluan alternatif) itu dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersiaran selama satu jam di PerakFM di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Perak di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas kemalangan ngeri membabitkan sebuah treler dan kereta yang mengorbankan lima nyawa selepas Terowong Menora pada Sabtu lepas.

Dalam nahas 11.47 pagi itu, kelima-lima mangsa rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh sebuah treler.

Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Selangor ke Ipoh bagi menyertai aktiviti keagamaan di sebuah gereja.

Dilaporkan pihak berkuasa mengenal pasti tiga daripada mereka setakat ini iaitu masing-masing wanita berusia 60 dan 37 tahun serta seorang bayi lelaki berusia setahun.


-- BERNAMA