Perak, Kedah, Perlis dijangka negeri paling panas

Perak, Kedah, Perlis dijangka negeri paling panas
Dr Hisham berkata cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Mei adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan berdepan dengan cuaca panas melampau seperti yang pernah berlaku pada tahun 1998 dengan suhu yang tertinggi berada pada paras 40 Darjah Celsius.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geo Fizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Hisham Mohd Anip berkata suhu tertinggi dijangka dicatatkan adalah sekitar 37 hingga 38 darjah Celsius melibatkan beberapa negeri di utara iaitu iaitu Perak, Kedah dan Perlis.

Katanya, cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Mei adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

“Kebiasaannya kalau kita tengok rekod-rekod kita, suhu paling panas dialami di negeri-negeri utara seperti di Kedah, Perlis, Perak dan mungkin juga di pedalaman Kelantan dan Pahang.

“Yang paling tinggi kebiasaannya adalah 37 - 38 darjah Celcius, tapi pernah berlaku sehingga 40 darjah Celsius, itu pun sekali sahaja pada tahun 1998 disebabkan pada ketika itu kita ada El Nino yang kuat.

“Memandangkan kini keadaan atmosfera kita bukan dipengaruhi oleh El Nino kuat, jadi kita tidak jangka akan sampai 40 (darjah Celsius), sekitar 38 (darjah Celsius) itu jangkaan kita,” katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat Semenanjung dan Sabah yang dijangka berterusan hingga hujung April ini.

Katanya, suhu di negeri-negeri lain dijangka berada pada paras antara 35 hingga 36 darjah Celsius.

Bagaimanapun, monsun yang melanda negara ketika ini yang membawa cuaca panas dan kering tidak akan menyebabkan kemarau panjang.

“Kalau ikut kepada fasa cuaca kita sekarang, semalam ada beberapa kawasan mengalami hujan di Selangor dan Perak dan dijangkakan beberapa hari ini akan hujan berterusan sehingga pertengahan Mei disebabkan fasa peralihan monsun.

"Jadi kita tidak jangkakan akan berlaku kemarau dalam fasa peralihan monsun ini. Banyak kawasan akan menerima hujan,” katanya.

Ditanya mengenai fenomena El Nino yang dijangka melanda Sabah, Dr Hisham berkata ia masih dikategorikan pada tahap lemah dan tidak memberi impak signifikan kepada cuaca di negara ketika ini.

Katanya, kesan El Nino hanya akan dirasai di kawasan Sabah berikutan negeri itu terletak di barat pasifik.

“Bila kita bercakap mengenai El Nino ia ada indeks yang dipantau oleh badan antarabangsa. Bila lemah itu ia berdasarkan suhu dan keadaan laut di tengah pasifik. Kalau lemah itu maknanya suhu di tengah laut adalah 0.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa.

“Sederhana pula 1.0 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa, manakala kuat 1.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa. Jadi itu tahap (El Nino) dan sekarang ini apa yang dipantau oleh badan-badan antarabangsa sekitar 0.5 darjah Celsius,” ujarnya.

Terdahulu, organisasi meterologi dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan 70 hingga 80 peratus kemungkinan El Nino melanda dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Jelasnya, keadaan El Nino di Malaysia masih dianggap normal dan tidak sehingga mencapai suhu ekstrem seperti kejadian El Nino pada 2016.

Bagaimanapun, Dr Hisham menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak terdedah kepada strok haba serta mengelakkan pembakaran terbuka.

“Dalam situasi sekarang ini, banyak tempat yang mengalami cuaca panas dan nasihat kami jangan berada di tempat terbuka terlalu lama dan terdedah kepada panas matahari. Kita tengok juga sekarang ini banyak kawasan-kawasan mula terbakar, jadi elakkan membuat pembakaran terbuka untuk elak situasi menjadi lebih teruk,” katanya.


Tag: cuaca panas, Kedah, Perlis, Perak, Malaysia, El Nino, Pahang, Jabatan Meteorologi Malaysia, negeri paling panas, MetMalaysia, Dr Hisham Mohd Anip, heatwave


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.