IPOH: Perak melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 secara jumpa terus atau walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) awam bagi warga emas bermula hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata pemberian vaksinasi tanpa janji temu itu dilaksanakan hanya pada sesi petang iaitu bermula pukul 2 hingga 5 petang.

"Ya, hanya pada sesi selepas tengah hari dan untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Satu memo dalaman daripada Dr Ding tular hari ini yang memaklumkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) mengarahkan pelaksanaan pemberian vaksinasi COVID-19 secara walk-in bagi semua negeri.

Susulan itu, Jawatankuasa Pemandu Vaksin COVID-19 Jabatan Kesihatan Negeri Perak memohon Pegawai Kesihatan Daerah di seluruh negeri melaksanakan pemberian vaksin secara jumpa terus itu dengan penerima vaksin perlu membawa bukti menunjukkan mereka bermastautin di negeri ini.

Menurut Statistik Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), seramai 1,513,357 orang telah berdaftar untuk menerima vaksin di Perak, manakala penerima dos pertama adalah seramai 781,493 orang setakat ini.

-- BERNAMA