Jabatan Pertanian Perak menyasarkan pengeluaran durian daripada 6 tan metrik sehektar sekarang kepada 10 tan metrik menjelang tahun 2020.

Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamahri berkata sasaran itu boleh dicapai dengan penanaman klon durian yang bermutu seperti duri hitam (D200) , D24 dan cantuman dewasa.

Beliau berkata pekebun yang mempunyai pokok durian sudah tidak lagi mengeluarkan buah boleh mendapatkan hasil dengan menggunakan teknik cantuman dewasa.

"Kita menggalakkan pekebun untuk membuat pemulihan dusun dengan menanam klon yang bermutu secara sulaman bagi membolehkan ia menghasilkan buah bermutu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan dan Anugerah Kecemerlangan Pertanian di Pusat Latihan Pertanian Manong dekat sini pada Khamis.

Abdul Yunus berkata jabatan akan memberikan bantuan benih, baja dan racun untuk membantu pekebun durian meningkatkan hasil durian.

Katanya para pekebun boleh datang berjumpa dengan pegawai pertanian di setiap daerah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan sebagainya.

Menurut Abdul Yunus terdapat seramai 3,766 pekebun durian di Perak tahun lalu membabitkan kawasan dusun seluas 4,703 hektar telah berjaya menghasilkan 22,359 tan metrik buah dengan pendapatan RM67 juta.

Bagi pengeluaran buah-buahan seperti rambutan, duku langsat, manggis dan mangga, sebanyak 106,279 tan metrik dengan pendapatan RM318 juta berjaya dihasilkan tahun lalu, katanya.

Abdul Yunus berkata Perak mempunyai beberapa kawasan pengeluaran durian antaranya di Batu Kurau, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Kampung Gajah, Batang Padang dan Pengkalan Hulu.

-- BERNAMA