Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membangunkan sebuah Galeri Banjar di daerah Kerian.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri berkata, pembinaan galeri itu perlu bagi memastikan generasi akan datang mengenali kebudayaan dan adat Banjar yang terdapat di sini selain di Sungai Manik di Teluk Intan.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah Kerian untuk mengenal pasti tanah kerajaan di sini bagi mewujudkan galeri itu.

"Kita ada berbincang di peringkat daerah dan memang ada cadangan sebelum ini untuk membina galeri di Bukit Merah Laketown, tetapi ia masih tidak dilaksanakan.

"Kita telah mencadangkan pembinaan galeri itu dimasukkan dalam rancangan tempatan daerah pada 2035 untuk dibina di pekan Bagan Serai dan di kawasan Masjid Tinggi yang juga penempatan terbanyak golongan Banjar di daerah ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Keusahawan dan Kebudayaan Banjar 2019 di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Abdul Yunus berkata pembinaan galeri itu amat mustahak kerana sejarah dan budaya B Banjar memang wujud di sini sejak ratusan tahun yang lampau.

Selain itu, beliau berkata pembinaan galeri itu juga bakal menarik pelancong berkunjung ke daerah Kerian untuk melihat budaya dan adat yang diamalkan oleh golongan Banjar.

"Pelancong juga boleh melihat kawasan pelancongan di sini seperti di Kuala Gula dan Ban Pecah yang menjadi antara tarikan pelancong di daerah Kerian," katanya.

Sementara itu, mengenai karnival ini, Abdul Yunus berkata program Karnival ini juga akan dimasuk dalam Kalendar Pelancongan Perak.

Karnival itu membabitkan pameran oleh beberapa agensi kerajaan, swasta dan penjualan makanan tradisi Banjar seperti balungan ayam dan kalikatar.

-- BERNAMA