KUALA LUMPUR:Kerajaan Sabah baharu sudah dibentuk.

Rakyat kini menanti apa perancangan bagi pentadbir baharu Negeri Di Bawah Bayu itu.

Bagi Penyelidik GeoPeS UMS (Politik Pembangunan & Dasar Awam), Prof. Madya Dr. Azri Ibrahim, sudah tiba masanya perancangan dan pentadbiran antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diselaraskan dan dibawa ke Putrajaya.

"Ini lah masanya untuk perancangan dilakukan di peringkat pentadbiran baharu kerajaan Sabah dan akhirnya dibawa ke Putrajaya untuk diselaraskan. Seterusnya, diterjemahkan dalam konteks pelaksanaan supaya rakyat akan menikmati hasilnya.

"Ini memerlukan perancangan dan tindakan.

"Rakyat ternanti-nanti apakah perancangan kerajaan baharu. Sekurang-kurangnya dalam sebulan, dua bulan mungkin tiga bulan, kerajaan baharu Sabah sudah ada perancangan. Rakyat sudah nampak perancangannya," kata Dr Azri ketika menjadi tetamu pada Buletin AWANI Khas pada Selasa. 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah baharu, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor perlu menangani isu kos sara hidup dan meringankan desakan ekonomi yang dihadapi rakyat dengan kadar segera.

BACA: Hajiji Noor angkat sumpah Ketua Menteri Sabah ke-16

BACA: Bung Moktar, Jeffrey Kitingan, Joachim Gunsalam dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah





"Masih ramai di Sabah terutamanya mereka di kawasan pedalaman yang sangat memerlukan keperluan ekonomi dan bantuan kos sara hidup.

"Kami lihat apa perancangan yang akan diutarakan Datuk Seri Hajiji nanti apabila masuk pejabat Ketua Menteri.

"Saya percaya perkara yang harus diutamakan ialah mungkin bantuan segera kepada masyarakat yang memerlukan dan Bantuan COVID-19 kepada masyarakat luar bandar yang terjejas dengan penularan pandemik tersebut," tambahnya. 

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa seluruh wakil rakyat yang baharu dilantik di bawah Gerakan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan kecemerlangan dan kemajuan Sabah.

Beliau juga berkata kerajaan negeri yang dibentuk akan mendapat sokongan yang padu daripada Kerajaan Persekutuan.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri Sabah