Tutup

Perang perdagangan China, AS beri manfaat kepada Malaysia

Perang perdagangan China, AS beri manfaat kepada Malaysia
Kian Ming berkata sehingga kini hanya tiga negara iaitu Mexico, Jepun dan Singapura yang telah melengkapkan proses ratifikasi masing masing. - FotoBernama
KUALA LUMPUR: Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) memberi kesan yang positif kepada Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Menurutnya, minat syarikat daripada kedua-dua negara terbabit untuk melabur di negara ini semakin meningkat susulan perkembangan terkini itu.
"Saya rasa minat untuk melabur di Malaysia semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan sekarang akibat perang perdagangan antara China dan AS minat antara syarikat dari kedua-dua negara melabur di Malaysia semakin meningkat," katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Chai Kim Sen berhubung implikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang boleh dimanfaatkan Malaysia bagi menangani kesan negatif perang perdagangan.
Kian Ming berkata kementerian itu pada masa ini sedang membuat penilaian sama ada CPTPP boleh membawa lebih manfaat dari segi menarik pelaburan asing akibat dari perang perdagangan tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan setakat ini masih belum membuat keputusan berhubung CPTPP.

"Saya rasa memang ada kebaikannya dari segi kita boleh memasuki pasaran baharu sungguhpun AS telah menarik diri, kita masih ada tiga pasaran baharu iaitu Kanada yang merupakan ekonomi ke-10 terbesar dunia, Mexico yang merupakan ekonomi ke-15 terbesar dan juga Peru," katanya.

Beliau berkata Kanada dan Mexico juga memiliki hubungan ekonomi yang rapat dengan AS di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan ia boleh dijadikan papan loncatan untuk syarikat Malaysia memasuki pasaran besar ini termasuk di AS."Perkara-perkara ini perlu dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum keputusan dibuat sama ada mahu ratifikasi CPTPP atau tidak," katanya.

Kian Ming berkata sehingga kini hanya tiga negara iaitu Mexico, Jepun dan Singapura yang telah melengkapkan proses ratifikasi masing masing.

Menurutnya, penguatkuasaan akan terlaksana pada awal 2019 sekiranya enam negara daripada 11 ahli perjanjian CPTPP menyelesaikan ratifikasi domestik masing masing.

-- BERNAMA