ASEAN harus benar-benar memahami gejala dadah merupakan masalah yang kompleks serta memerlukan pendekatan dari pelbagai disiplin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ahli-ahli ASEAN perlu secara berkala menyemak semula serta memperkasa strategi bagi membanteras dan mengurangkan gejala berkenaan.

Jelasnya, ia bukan sahaja dalam konteks bekalan dadah tetapi juga permintaan.

"Oleh itu, semua sumber perlu dikerahkan untuk tujuan tersebut. Malaysia berkeyakinan bahawa satu-satunya cara menangani masalah dadah adalah melalui pendekatan multi-disiplin yang seimbang, menerajui perkongsian dengan segenap lapisan masyarakat di dalam negara serta memperkukuh rantaian kerjasama antara negara.

"Kami berikrar untuk mempertingkatkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi mempromosikan perkongsian ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam mengurangkan permintaan dadah, serta dalam bidang maklumat dan risikan agar dapat membantu kami menangani masalah dadah yang bersifat silang sempadan," katanya.

BACA: Mansuh hukuman mati: AADK mahu hukuman setimpal untuk kesalahan dadah

BACA:
Mansuh hukuman mati untuk semua kesalahan jenayah

Beliau berkata demikian semasa berucap di Mesyuarat Menteri ASEAN ke-6 tentang masalah dadah, di Hanoi, Vietnam, pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Aziz turut meyakinkan perwakilan yang hadir bahawa Malaysia akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada pendirian tegas ASEAN menentang najis dadah.

"Kita akan kekal teguh dan komited bagi melindungi rakyat Malaysia dan masyarakat sekitar dari bahaya najis dadah," tegasnya.

Menurut Mohd Azis, Malaysia percaya ia merupakan hak kedaulatan setiap kerajaan dan warga negara bagi menentukan pendekatan terbaik yang disesuaikan dengan undang-undang setempat dengan mengambil kira keunikan keadaan semasa serta norma-norma masyarakat.

"Bagaimanapun, pendekatan yang diambil mestilah berdasarkan bukti-bukti saintifik dan bertujuan melindungi rakyat daripada bahaya dan kesan buruk dadah," tambahnya.

Menyentuh aspek penguatkuasaan undang-undang anti-dadah, Mohd Azis berkata pihak berkuasa Malaysia sentiasa memantau aktiviti-aktiviti haram melalui operasi bersepadu bersama agensi setempat dan juga kerjasama agensi- agensi penguatkuasaan antarabangsa.

Jelasnya lagi, proses pemantauan turut melibatkan penambahbaikan saringan keselamatan di pintu-pintu masuk lapangan terbang antarabangsa Malaysia serta pintu-pintu masuk di perbatasan negara, membawa kepada kejayaan pelbagai operasi dan meningkatkan hasil rampasan dadah.