Peratusan kehadiran pelajar ke sekolah di Perlis merosot lebih 50 peratus berikutan kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah susulan penyebaran wabak COVID-19 daripada Kluster Sivagangga, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad.

Katanya penurunan itu berlaku setelah kerajaan negeri mengisytiharkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Bersasar (TEMCO) di dua kampung iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang di Kuala Sanglang bermula Sabtu lepas.

Beliau berkata data ketidakhadiran ke sekolah ini diperoleh hasil perjumpaan dengan guru besar, pengetua dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Ibu bapa boleh mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah tetapi perlu mendapatkan sebarang bentuk pengajaran dan pembelajaran daripada sekolah supaya anak mereka tidak ketinggalan.

"Antara sekolah yang berhampiran dengan kawasan TEMCO ialah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Empat, DUN Guar Sanji dan yang berhampiran dalam Parlimen Arau," katanya kepada pemberita selepas ditemui di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, hari ini.

Menurut Rozieana, penutupan sekolah yang berhampiran dengan kawasan TEMCO akan dimaklumkan selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan tiga sekolah ditutup bermula hari ini selama seminggu di kawasan TEMCO iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hun, dan kesemua guru di sekolah tersebut menjalani arahan Perintah Pengasingan Di Rumah.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan jumlah kumulatif 30 kes positif COVID-19 dengan 11 daripadanya merupakan jangkitan daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu di Kedah.

-- BERNAMA