Kedudukan indeks rasuah negara di tangga ke-55 kini masih perlu diperbaiki supaya tidak memberi persepsi negatif terhadap Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sendiri mengambil berat tentang perkara itu dan mahu semua pihak bersama-sama bekerjasama menurunkan kedudukan itu.

Menurutnya, angka terkini itu juga tidak disenangi kerajaan tetapi melihat kepada usaha Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ia satu langkah yang harus disokong semua pihak.

"Kajian yang dilakukan mendapati kita di tangga ke-55 dan perkara itu bukan sesuatu yang baik kerana boleh menyebabkan persepsi mengenai amalan integriti dipandang rendah.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat dan SPRM untuk menurunkan kedudukan yang dikeluarkan Transparency International (TI) itu," katanya.



Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian Sidang Kemuncak Pemerkasaan Generasi Baharu di sini pada Isnin.

Persidangan itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang akan bermula pada 5 sehingga 9 Disember ini.

Malaysia merosot dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara.

Dalam pada itu tegas Ahmad Zahid, isu rasuah harus ditangani secara bersama tanpa mengira latar belakang politik termasuk daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.

Sebelum ini, Transparency International Malaysia (TI-M) yakin SPRM mempunyai strategi tersendiri dalam mengambil tindakan terhadap pelaku rasuah dalam kalangan ahli politik.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar berkata, SPRM akan bertindak terhadap ahli-ahli politik walaupun kebanyakan kes sekarang tertumpu kepada 'jerung-jerung' dalam pentadbiran kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).