Perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) yang didakwa menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semasa mendapatkan rawatan gigi, ditetapkan pada 17 Feb 2017.

Hakim Zaman Mohd Noor menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan peguam Dev Kumaraendran yang mewakili tertuduh Dr Ting Teck Chin, untuk menangguhkan tarikh perbicaraan yang lama kerana ketua pasukan pembelaan Datuk K.Kumaraendran perlu mendapatkan rawatan di hospital.

Mahkamah sebelum ini menetapkan lima hari bermula 23 hingga 27 Jan 2017 untuk perbicaraan kes itu.

Dev memaklumkan ia merupakan rawatan berjadual Kumaraendran di India. Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah kemudiannya, menetapkan lima hari iaitu 17 Feb dan 20, 21, 27 dan 28 Mac 2017 sebagai tarikh perbicaraan baharu.

Pada 12 Ogos lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung timbalan perdana menteri, Datuk Nurulhidayah, 37, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia. - BERNAMA