Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata perbincangan mengenai perjanjian air dengan Singapura sudah dimulakan sejak sebulan lalu.

Jelasnya, Peguam Negara, Tommy Thomas telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari Singapura bulan lalu.

Jelasnya, isu perjanjian air adalah antara lapan perkara yang dirundingkan Malaysia dengan Singapura.

Pada masa sama, Saifuddin menyifatkan pertemuan itu adalah penting memandangkan sebelum ini isu berkenaan tidak dapat dibincangkan di meja rundingan.

“Perbincangan sudah pun bermula antara Peguam Negara, Tommy Thomas dengan Peguam Negara Singapura sejak sebulan lalu. Jadi, perbincangan tentang perjanjian air telah bermula. Ini kita anggap penting kerana sebelum ini kita tidak dapat duduk semeja. Sekarang, kita sudah duduk semula tentang isu perjanjian air," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Rohingya Education Centre Klang di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai reaksi Singapura berhubung perbincangan itu, Saifuddin tidak dapat memberi perincian berhubung perkara itu kerana masih di peringkat awal.

“Saya tidak boleh menyatakannya lagi sebab biasalah rundingan ni ada masanya very delicate. Jadi saya rasa saya hanya boleh katakan ada pertemuan dan perbincangan sudah bermula. Bagi saya ia satu langkah ke hadapan,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan nilai penjualan air mentah dari Malaysia ke Singapura sebagai tidak berpatutan.

Beliau memberi indikasi bahawa nilai 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah tidak munasabah pada masa kini.

Mengikut perjanjian air semasa yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan air mentah kepada Singapura sebanyak 250 juta gelen setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Kemudian, Malaysia membeli semula air yang telah dirawat dari republik itu pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.