Perbuatan membuli dan keganasan di kalangan pelajar dan remaja perlu dikawal kerana budaya itu sekarang bertapak dalam masyarakat tempatan, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee berkata secara umum, boleh dikatakan setiap hari keganasan dalam beberapa bentuk dilakukan sama ada di rumah, sekolah atau tempat lain.

Oleh itu, kerajaan bersama-sama dengan pihak berkepentingan yang lain perlu mencari sebab mengapa remaja di negara ini berkelakuan cara itu dan mengapa mereka mengingkari dan tidak menghormati undang-undang.

"Saya percaya bahawa kita mesti menangani 'budaya keganasan' yang pada pendapat saya semakin menular dalam institusi pendidikan kita," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas insiden terbaharu pada Sabtu apabila seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dipukul, dilecurkan dan diliwat oleh sekumpulan pemuda kira-kira tengah malam di sebuah padang di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Lee berkata insiden itu berlaku tidak sampai dua minggu selepas seorang pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun selepas dia dikatakan dipukul oleh sekumpulan pelajar universiti di Serdang.

Lee juga berkata kerajaan perlu campurtangan untuk menangani masalah tersebut dengan sokongan daripada semua pihak berkepentingan termasuk ibu bapa, ahli psikologi dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, pihak-pihak berkenaan antara lain, harus menumpukan kepada aspek kesihatan kerana ia boleh jadi satu daripada sebab utama bagi keganasan tersebut.

"Yang lebih membimbangkan, masalah itu juga melibatkan pelajar kerana nisbah mereka yang mengalami masalah mental telah meningkat daripada satu dalam 10 orang pada 2011 kepada satu dalam lima individu pada 2016," kata beliau.

Menurut beliau, pakar-pakar merumuskan bahawa kebimbangan dan kemurungan sebagai punca utama masalah kesihatan mental di kalangan pelajar.

Beliau berkata adalah penting Kementerian Pendidikan dengan bantuan guru dan kaunselor, mengenal pasti pelajar yang terdedah kepada keganasan dan memulakan program kaunseling bertujuan membantu individu yang menghadapi masalah mental sebelum mereka memusnahkan seseorang pada masa depan termasuk kehidupan mereka sendiri.

-- BERNAMA