Majlis Peguam Malaysia mengalu-alukan pembentangan pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, November lepas, bagi menangani isu penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak.

Justeru, majlis itu menggesa kerajaan mempercepatkan cadangan pindaan tersebut.

Presidennya, Steven Thiru berkata cadangan pindaan itu akan memastikan kanak-kanak berkenaan kekal dalam agama ibu bapanya pada waktu perkahwinan mereka, sebelum salah seorang pasangan itu kemudian memeluk Islam.

Di samping mempercepatkan pindaan itu, kerajaan juga perlu bergerak ke arah menyeragam undang-undang Islam di semua negeri yang memperuntukan kedudukan yang bertentangan, katanya pada majlis perasmian istiadat badan kehakiman sempena Tahun Undang-Undang 2017 di sini pada Jumaat.

Ketika cadangan pindaan akta tersebut belum muktamad, katanya, badan perundangan negeri perlu mengelak daripada mengubal undang-undang yang membenarkan penukaran agama secara sebelah pihak.

Terdahulu dalam ucapannya, katanya, penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak dibawa dalam wacana awam susulan kes mahkamah melibatkan ibu beragama Hindu, M. Indira Gandhi dan S. Deepa dengan bekas suami masing-masing yang memeluk Islam dan menukar agama anak mereka.

Disember lepas, Dewan Undangan Negeri Perlis meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016 yang membolehkan salah seorang daripada ibu bapa menukar agama anak mereka kepada Islam.

Selain isu penukaran agama secara sebelah pihak, Thiru berkata Majlis Peguam juga telah bekerjsama dengan kerajaan dalam menangani isu-isu perundangan yang melibatkan penderaan seksual kanak-kanak.

"Majlis Peguam terkejut dengan pendedahan kisah hampir 200 bayi dan kanak-kanak didera secara seksual dalam tempoh masa hampir sembilan tahun oleh seorang pedofilia rakyat British, Richard Huckle yang tinggal di Malaysia," katanya.

Menurutnya, tindakan pantas kerajaan terhadap kejadian seperti itu dengan menubuhkan pasukan petugas mengenai jenayah seksual dan cadangan penggubalan Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak bagi menuntut pembaharuan dalam undang-undang sedia ada adalah membanggakan.

Katanya, akta tersebut akan memperkenalkan kesalahan-kesalahan baharu terhadap kanak-kanak serta memberi keutamaan kepada keterangan kanak-kanak dan juga penubuhan mahkamah khas untuk pesalah seksual kanak-kanak.

Thiru berkata Majlis Peguam telah mewujudkan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak pada Ogos tahun lepas bagi mengkaji dan mencadangkan pembaharuan perundangan bagi meningkatkan perlindungan kepada kanak-kanak serta melatih peguam mengenai etika ketika mewakili kanak-kanak yang berdepan dengan konflik undang-undang.

Katanya, jawatankuasa itu sedang berunding dengan pasukan petugas mengenai jenayah seksual bagi membincangkan rangka kerja cadangan undang-undang bagi Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak.

"Kami telah menulis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk meminta salinan draf rang undang-undang dan berharap untuk menerimanya tidak lama lagi bagi membolehkan kami memberi ulasan, katanya. -- Bernama