Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi tumpuan berkaitan isu-isu perdagangan, pengecualian Visa, keganasan dan Rohingya dalam lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat, Selasa ini.

Dalam catatan terbaharu di blognya www.najibrazak.com, beliau berkata lawatan kerja yang mendapat jemputan Presiden Amerika Syarikat ke-45 Donald J. Trump itu, tepat pada masanya bersempena ulang tahun ke-60 hubungan dua hala kedua-dua negara pada Julai yang lalu.

"Sepanjang enam dekad yang berlalu itu juga, hubungan kedua-dua negara telah berkembang dan semakin erat dari masa ke masa," kata perdana menteri.

Dalam catatan itu, beliau turut merujuk kepada keakraban yang wujud dalam hubungan Kuala Lumpur-Washington seperti yang dilihat melalui kunjungan dua presiden Amerika ke Malaysia sebelum ini.

Presiden Lyndon B. Johnson mengunjungi Malaysia pada 1966 manakala Presiden Barack Obama berbuat demikian pada 2014 dan 2015.

“Melalui lawatan rasmi ini, saya akan menekankan inisiatif rundingan bilateral kedua-dua buah negara dan menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik lagi.

“Selain itu, saya juga akan berbincang dengan Presiden Trump mengenai isu anti keganasan di negara serantau, dan juga isu kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar,” tulis beliau.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri juga dijangka akan membincangkan mengenai pengecualian Visa rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat.

“Malaysia kini juga menerima kelebihan visa selama 10 tahun bagi kemasukan tanpa had, dan usaha kini di peringkat akhir bagi Program Pengecualian Visa bagi rakyat Malaysia ke Amerika Syarikat,” katanya.

Perdana Menteri juga berharap agar lawatan ini akan berjaya mencapai matlamat dan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat.