Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam lawatan kerja ke Dungun, sempat singgah bertemu dengan keluarga pelumba basikal negara Azizulhasni Awang, hari ini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit beramah mesra dan menyatakan penghargaan kepada bapa Azizul, Awang @ Muda Embong serta seluruh keluarga juara keirin dunia itu di Rumah Rehat Dungun.

Berikutan kejayaan ‘The Pocket Rocketman’ di Hong Kong itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut mengumumkan akan memberi insentif khas kepada wira negara itu.

“Saya telah mengarahkan Majlis Sukan Negeri mengadakan sambutan yang besar untuk jaguh dunia ini yang sudah pasti akan memberikan satu suntikan semangat kepada anak-anak Terengganu yang lain agar mencontohi Azizulhasni dan sudah pastilah bahawa satu pengumuman yang istimewa akan saya umumkan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong dan memberi penghargaan kepada mana -mana atlet yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara.

Azizulhasni muncul juara keirin Kejohanan Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Hong Kong pada Khamis selepas menanti selama 10 tahun.

Ia adalah kejayaan selepas dia meraih dua perak dan dua gangsa dalam percubaan lalu.