Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diberi sambutan rasmi di Istana Presiden hari ini, sempena lawatannya ke Hanoi, Vietnam.

Ketibaan beliau disambut rakan sejawatannya Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Sebaik tiba, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, sebelum beliau seterusnya diberi penghormatan menerima tabik hormat dan memeriksa kawalan kehormat.

Selesai sambutan rasmi, Dr Mahathir mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya diikuti Mesyuarat Delegasi Malaysia-Vietnam.

Pelbagai isu dijangka dibincang dalam mesyuarat terbabit, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi kedua-dua negara.

Hubungan dua hala Malaysia-Vietnam menikmati fasa diplomatik sebelum diperkukuh sebagai rakan strategik walaupun masih banyak usaha boleh dilakukan untuk mempromosi kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

Antara bidang kerjasama yang terjalin selama ini membabitkan kedua-dua negara ialah perdagangan dan pelaburan, keselamatan, pendidikan dan pertanian.

Isu-isu serantau dan antarabangsa juga akan turut dibincangkan dalam pertemuan kali ini.



Selepas mesyuarat, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran surat mengenai penubuhan Kumpulan Kerjasama antara Ahli Parlimen Malaysia dan Vietnam.

Dr Mahathir tiba di Hanoi kira-kira jam 8.20 malam Isnin untuk lawatan rasmi tiga hari beliau ke Vietnam.

Kali terakhir Dr Mahathir melawat Vietnam sebagai Perdana Menteri ialah 21 tahun lalu ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 1998.