Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Nguyen Phu Throng sempena lawatan tiga hari beliau ke negara itu sejak Isnin.

Pertemuan dengan Phu Trong, yang juga Setiausaha Agung Parti Komunis (CPV), berlangsung selama 25 minit di ibu pejabat parti berkenaan di sini.

Mengiringi Perdana Menteri ialah, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa.

Pelbagai topik mengenai hubungan dua hala Malaysia-Vietnam dibincangkan dalam pada pertemuan tersebut.

Phu Trong dilantik sebagai Presiden Vietnam pada Oktober lepas.

Ini merupakan lawatan pertama Dr Mahathir ke Vietnam selepas menjadi Perdana Menteri kali kedua pasca Pilihan Raya Umum, Mei lepas.

Kali terakhir Perdana Menteri melawat Vietnam adalah pada 1998, semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada waktu itu dan kunjungan beliau ke negara sosialis itu adalah atas undangan rakan sejawatannya, Nguyen Xuan Phuc.

Pada Rabu, Perdana Menteri akan melawat Hoa Lac Hi-Tech Park, berucap kepada pelajar University FPT mengenai ‘Persediaan Malaysia Dalam Mendepani IR 4.0’ selain melihat pameran dan menguji pandu kereta VinFast, buatan sulung Vietnam model Lux SA 2.0, Lux SA (A) 2.0 dan Fadil 1.5.

Selain itu, Dr Mahathir juga akan melawat Noi Bai Industrial Zone (NBIZ), zon industri terawal di Vietnam, dan pameran berteknologi tinggi di Kilang Yamaha Motor Vietnam di zon tersebut.

Beliau merasmikan upacara pecah tanah zon perindustrian tersebut pada 8 Mac, 1996 selain kewujudannya merupakan cetusan idea Perdana Menteri sendiri.

Di akhir lawatan, Dr Mahathir akan mengadakan sidang media bersama wakil Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Asas lawatan Perdana Menteri ke Vietnam ini bertujuan meneroka bidang kerjasama baharu termasuk dalam perdagangan, pertanian dan teknologi tinggi.

Vietnam ialah rakan terpenting kepada Malaysia dengan nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam dicatatkan berjumlah AS$13.3 bilion pada 2018, sekali gus menjadikan Malaysia rakan dagang ke-8 terbesar Vietnam.

Bagi suku pertama 2019, dagangan dua hala meningkat sebanyak 1.18 peratus kepada AS$4.27 bilion, berbanding tempoh sama pada 2018.

Sehingga kini, Malaysia merupakan pelabur asing ke-8 terbesar di Vietnam, dengan jumlah pelaburan bernilai A S$12.48 bilion sehingga penghujung 2018.