Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, memandang serius tindakan berunsur keganasan terhadap Ahli Dewan Rakyat yang berlaku di Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, kejadian tersebut kini sedang disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya lagi, institusi parlimen perlu dihormati.

"Saya pandang serius kejadian di Parlimen hari ini dan sebarang tindakan berunsur keganasan terhadap ahli Dewan Rakyat.

"Kejadian itu sedang disiasat dan saya yakin @PDRMsia akan lengkapkan siasatan secepat mungkin," kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Twitter @NajibRazak malam ini.

BACA: Khalid Samad diserang: Anak Timbalan Menteri antara 10 dicari polis

VIDEO: Khalid Samad diserang di luar Parlimen
Pagi tadi, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad dilaporkan telah diserang lebih 10 individu dipercayai penyokong Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di pekarangan bangunan Parlimen.

Serangan itu dipercayai susulan tindakan Khalid yang memanggil Tajuddin dengan kata kesat dalam sidang Dewan Rakyat Isnin lalu.

BACA: Dewan Rakyat kecoh, ahli parlimen bertikam lidah kerana perkataan 'kok'