Dua warga asing - seorang lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Nepal - maut dalam kejadian berasingan di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi di hadapan Merchantrade Kota Damansara itu, dua warga Nepal turut cedera di kepada dan badan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata, kejadian itu turut melibatkan dua lelaki warga tempatan dan 10 hingga 15 warga Bangladesh.

“Mangsa yang maut mengalami kecederaan di kepala, dipercayai akibat ditolak oleh seorang daripada lelaki Nepal, sehingga jatuh ke dalam longkang.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi lelaki warga Nepal yang cedera di kepala turut dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis menahan dua lelaki warga tempatan di lokasi kejadian dan dua lagi warga Nepal semasa hendak mendapatkan rawatan.

Tambah Mohd Zani, pihaknya masih mencari enam lagi lelaki Bangladesh bagi membantu siasatan.

Sementara itu, di Seksyen 8 di sini, seorang warga Nepal maut akibat ditikam, dipercayai oleh rakan sebilik, dalam kejadian kira-kira jam 1.40 pagi ini.

“Mangsa tinggal sebilik dengan tiga lagi rakannya dan ketika kejadian hanya seorang rakan mangsa berada di dalam bilik sewa berkenaan,” katanya lagi.

Hasil siasatan awal mendapati terdapat dua kesan tikaman di bahagian dada mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.