Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk membenarkan pergerakan antara zon di Sarawak tanpa perlu memohon permit daripada pihak polis mulai 15 Ogos ini.

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keputusan itu diambil setelah meneliti isu semasa kes positif di Sarawak serta pandangan daripada Kementerian Kesihatan serta sektor industri pelancongan.

"Hari ini tiada kes positif dan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak kekal sebanyak 681 kes," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBNS di sini pada Isnin.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak seterusnya menasihatkan orang ramai agar tidak leka, sebaliknya perlu terus kekal berwaspada agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan di zon Kuching/Samarahan.

"Pastikan saranan dan nasihat-nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa," katanya.

-- BERNAMA