Kuota jemaah haji Malaysia yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi sebanyak 22,320 orang tahun ini masih kekal walaupun berlaku pergolakan di Yaman.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Johan Abdullah berkata pihaknya sedang giat melakukan persiapan seperti biasa untuk menghantar jemaah yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu.

Setakat ini 1.7 juta orang telah mendaftar dengan TH untuk menunaikan ibadat haji, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program masjid angkat di Masjid Mukim Tebing Tinggi, Kusial Baru di sini, hari ini.

Johan diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak kemungkinan kuota itu dikurangkan lagi berikutan situasi tidak menentu negara Asia Barat itu.

Keganasan di Yaman berpunca kerana puak Houthi menentang Presiden Abdu Rabu Mansour Hadi l yang menerima sokongan daripada Arab Saudi.

Beliau juga berkata perbelanjaan bagi seorang jemaah haji juga masih dikekalkan iaitu sebanyak RM9,980 walaupun berlaku kenaikan kos sara hidup di tanah suci itu.

Pada majlis berkenaan, beliau menyampaikan cek sebanyak RM30,000 kepada masjid Mukim Tebing Tinggi bagi membina kemudahan dan peralatan yang rosak akibat banjir Disember tahun lepas.

Sumbangan itu diterima oleh imam masjid berkenaan, Abu Saamah Abdul Hamid.

Johan berkata pemilihan masjid angkat itu merupakan kali pertama dibuat oleh TH sebagai khidmat dan tanggungjawab komuniti setempat.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah gotong-royong membersihkan kawasan sekitar yang dipenuhi lumpur akibat bencana itu dan program motivasi untuk pelajar.