Mahkamah Rayuan membatalkan pertuduhan dikenakan terhadap pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang didakwa gagal memberikan notis kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan pada tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan terdapat merit untuk membenarkan rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan membatalkan pertuduhan itu.

Beliau berkata mana-mana undang-undang termasuk penghakiman mahkamah tidak boleh diguna pakai secara kebelakangan. Turut bersidang bersama-sama Tengku Maimun ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.

Dengan keputusan itu, Chin, 60, tidak perlu berdepan perbicaraan bagi pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada 1 Okt tahun lepas atas pertuduhan gagal memberikan notis kepada Polis Daerah Brickfields 10 hari lebih awal sebelum menganjurkan perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah NU Sentral, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini antara 2 petang dan 3 petang pada 29 Ogos, 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Chin kemudiannya mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan itu dibatalkan tetapi permohonannya itu ditolak oleh mahkamah pada 18 April tahun ini.

Terdahulu, peguam M. Puravelan berhujah pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya itu adalah salah di sisi undang-undang kerana dibuat mengikut peruntukan yang telah diisytiharkan sebagai menyalahi perlembagaan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata pada masa kesalahan itu didakwa dilakukan, keputusan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengisytiharkan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman yang menghukum penganjur sesuatu perhimpunan jika gagal memberi notis kepada polis sebagai menyalahi perlembagaan, masih merupakan undang-undang yang diguna pakai.

Puravelan berkata hanya pada 1 Okt tahun lepas, satu lagi panel Mahkamah Tinggi dalam kes R. Yuneswaran memutuskan untuk tidak menggunakan keputusan dalam kes Nik Nazmi dan memutuskan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman adalah sah di sisi perlembagaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim berhujah keputusan dalam kes Yuneswaran merupakan undang-undang yang diguna pakai kerana ia merupakan keputusan terkini, dan menurutnya sesuatu undang-undang itu boleh digunakan secara kebelakangan.

Ketika ditemui pemberita, Chin berkata beliau gembira dengan keputusan itu, sambil menyatakan Bersih 2.0 bercadang mengadakan perhimpunan pada November dan butirannya akan dimaklumkan dalam sidang media pada 14 Sept.